header

header

Tuesday, 27 January 2015

Anak Mula Bercakap Kasar

Pernahkah anda mendengar si kecil yang sudah melangkah ke prasekolah mengeluarkan kata-kata kasar apabila bermain bersama kawan-kawannya atau ketika di rumah? Tentu anda terkeju kerana tidak menyangka si kecil sudah boleh mengeluarkan kata-kata kasar yang sememangnya tidak pernah diajar.

Perilaku anak-anak yang sudah bersekolah dan bersosial dengan pelbagai jenis kawan-kawan mendedahkan mereka dengan pelbagai perkara positif dan negatif. Sebagai ibu bapa, kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini.



Ia sebenarnya adalah perkara normal yang akan berlaku dalam kalangan kanak-kanak usia prasekolah. Mereka umpama sebuah span yang akan menyerap apa sahaja perkara baharu yang mereka pelajari tanpa mengetahui ia baik atau buruk.

Kanak-kanak usia ini terkenal sebagai golongan yang sangat cepat meniru apa sahaja perbuatan orang lain tanpa mengetahui apa yang ditiru itu betul atau salah. Maka tidak hairanlah mereka mudah mengikut apa yang ada di sekeliling seperti ahli keluarga, kawan-kawan sekolah dan rancangan televisyen yang ditonton.

Jadi, apakah cara terbaik mengendalikan anak sedemikian? Sudah tentu kita tidak boleh melarang mereka bercampur gaul dengan kawan-kawan yang memberikan pengaruh negatif kepadanya ketika di sekolah kerana kita boleh menemankannya sepanjang masa ketika dia bersekolah.

Cara terbaik yang boleh dilakukan oleh ibu bapa iaitu menjelaskan kepada si anak bahawa bercakap kasar atau berperangai buruk tidak baik, salah dan ia perbuatan yang kurang sopan. Jika anak pertama kali mengeluarkan kata-kata kasar tersebut, kita tidak boleh terus memarahinya. Sebaiknya ibu bapa bertanyakan dari mana dia mendengar kata-kata tersebut.

Setelah itu, tanyakan sama ada dia faham atau tidak maksud kata-kata tersebut kerana ada kes di mana anak langsung tidak tahu maksud kata-kata yang diucapkan. Selepas mendengar penjelasan daripada anak, kita berikan penjelasan kepadanya mengapa dia tidak boleh menggunakan perkataan kasar tersebut.

Percayalah, selepas mendengar penjelasan kita pasti anak tidak mahu mengulang perbuatannya kerana tidak mahu menjadi anak yang tidak disukai oleh kawan-kawan. Sememangnya perilaku anak banyak dipengaruhi oleh persekitarannya. Oleh itu sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak dan mengenali dengan siapa dia berkawan.

Ibu bapa perlu sentiasa mendampingi anak dan menjelaskan kepadanya bermacam perkara yang positif dan negatif supaya dia ada info dan ilmu dan seterusnya semakin bijak membuat pilihan dan tidak mudah dipengaruhi oleh persekitaran apabila dia semakin dewasa.

kredit : PaMa

No comments:

Post a Comment