header

header

Tuesday, 24 March 2015

Bermain Meningkatkan Kemahiran Menulis


Pengenalan

Menulis memainkan peranan penting walaupun dalam era teknologi. Kemahiran menulis sering digunakan oleh kanak-kanak di sekolah.

Menulis adalah satu proses yang kompleks dalam meluahkan perkataan melalui genggaman pensil, pembentukan huruf dan postur badan.

Kecekapan menulis memerlukan penguasaan pelbagai kemahiran termasuk penglihatan, koordinasi tangan dan mata, lengan, tangan, ingatan, postur dan kawalan badan.

Prevalen masalah menulis dalam perkembangan kanak-kanak dianggarkan antara 10% hingga 30% dan lebih ketara kerap berlaku di kalangan kanak-kanak lelaki daripada perempuan.

Tugas utama di dalam kelas adalah menulis. Kira-kira 30% hingga 60% daripada masa kelas di sekolah rendah dihabiskan dengan aktiviti menulis dan motor halus.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam menulis akan mengalami kesukaran dalam mengambil nota, ujian atau menyiapkan kerja sekolah mereka. Ini boleh menjejaskan harga diri, prestasi akademik dan sikap serta persepsi mereka terhadap sekolah.



Perkembangan Normal Menulis

Kebanyakan kanak-kanak mula menconteng di atas kertas selepas mereka mula dapat memegang pensel dan jika tidak diselia, mereka akan menulis pada mana-mana permukaan yang ada.



Sumber: Erhardt, 1992


Persediaan Menulis

Faktor-faktor persediaan yang diperlukan untuk menulis memerlukan kesepaduan beberapa bilangan sistem sensori-motor. Enam syarat yang harus ada pada kanak-kanak sebelum penulisan bermula adalah:


● Perkembangan otot kecil

●Koordinasi mata-tangan

●Kebolehan memegang perkakas dan alat tulis

●Keupayaan untuk melakar strok asas seperti garisan dan bulatan

●Persepsi terhadap huruf iaitu termasuk keupayaan untuk mengenal pasti bentuk, peka terhadap persamaan dan perbezaan, membuat kesimpulan pergerakan yang diperlukan untuk menghasilkan bentuk dan memberi penerangan lisan yang tepat tentang apa yang dilihat


●Orientasi kepada bahasa cetakan, yang melibatkan analisis visual tentang huruf dan perkataan bersama-sama dengan pembezaan kanan/kiri.



Tanda-tanda Masalah Menulis

Kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza. Sesetengah kanak-kanak mempunyai masalah untuk mempelajari cara menulis huruf sama ada arahnya ke dalam atau ke luar dan selebihnya sukar untuk menulis dengan kemas.

Kadang-kadang masalah menulis boleh menjadi tanda isu-isu lain seperti kelewatan perkembangan atau masalah pembelajaran. Keadaan yang boleh menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk menulis termasuk:


★ Masalah memori yang menghalang kanak-kanak daripada mengingat ejaan, tatabahasa, atau peraturan tanda baca


★ Masalah bahasa yang menyebabkan kesukaran dengan sebutan perkataan, ejaan, dan struktur ayat


★ Masalah visual atau susunan turutan yang menyebabkan jarak yang tidak sekata dalam perkataan dan ketidakupayaan untuk membuat senarai atau meletakkan idea dalam turutan


★ Dysgraphia, gangguan neurologi yang dicirikan oleh kesukaran bertulis (seperti huruf herot atau salah ejaan) tanpa mengira keupayaan membaca


★ Gangguan kurang tumpuan dan hiperaktif (ADHD)


Kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas juga mungkin mempunyai masalah untuk belajar menulis. Tanda-tanda bahawa seorang kanak-kanak mungkin memerlukan bantuan tambahan untuk belajar menulis termasuk:


》genggaman pensel dan kedudukan badan yang nampak janggal


》 tulisan tangan yang tidak boleh dibaca, saiz huruf yang berbeza-beza


》 kesukaran membentuk huruf


》 ketidakupayaan untuk menumpukan perhatian dan menyelesaikan tugasan penulisan


》 mengelak dari aktiviti menulis atau melukis


》banyak perkataan salah dieja


》huruf atau kata-kata yang tidak mengikut turutan yang betul


》meletakkan perkataan di tempat yang salah


》jarak antara huruf tidak sekata


》jurang yang besar antara bahasa pertuturan dan kebolehan menulis


》sangat lambat dan sukar untuk menulis


》perkataan atau ayat tidak diselesaikan



Rawatan Pemulihan

Rangka rujukan Pemulihan Carakerja yang digunakan untuk mereka bentuk program intervensi tulisan tangan termasuk: 


■ Perkembangan neuro - untuk melaksanakan tindak balas postur normal dan corak pergerakan.


■ Integrasi deria - menyediakan sistem saraf dengan peluang deria berbagai-bagai yang boleh manyatukan maklumat dengan lebih efisien yang mampu menghasilkan satu pergerakan motor yang memuaskan.


■ Biomekanik - tumpuan kepada faktor-faktor ergonomik postur duduk, kedudukan kertas, memahami pensil, alat menulis dan jenis kertas dalam latihan kemahiran tulisan tangan.


■ Tingkah laku - menggunakan aktiviti untuk meningkatkan kecekapan sosial kanak-kanak semasa mengambil bahagian dalam kumpulan intervensi tulisan


■ Pemerolehan ilmu - memberi tumpuan kepada perkembangan berstruktur iaitu memperkenalkan dan mengajar huruf dan bentuk angka.



Aktiviti Bermain Meningkatkan Kemahiran Menulis

Masalah perlu ditentukan sebelum mencuba untuk membantu kanak-kanak yang mengalami kesukaran menulis.

Jika kanak-kanak itu mempunyai masalah kemahiran motor halus atau pembentukan huruf, masalahnya mungkin berkaitan fizikal.

Sekiranya kanak-kanak itu tidak boleh mengingat bagaimana untuk menulis salah satu huruf daripada senarai abjad atau mengambil masa untuk mengambil keputusan apa yang patut ditulis, maka mungkin ada isu-isu kognitif.

Kebanyakan masalah menulis adalah faktor fizikal. Latihan motor halus membantu, tetapi penggunaan motor kasar sama pentingnya. Menulis melibatkan postur badan dan penggunaan tangan, lengan, kepala, dan mata dengan betul.

Antara aktiviti bermain yang dapat meningkatkan kemahiran menulis adalah :


Aktiviti di taman permainan - bermain buaian, gelongsor dan palang bergayut membolehkan kanak-kanak memanjat, menggantung dan melompat. Aktiviti-aktiviti ini membantu kanak-kanak dalam merangsang semua deria rasa.


Aktiviti permainan luar - bermain "kereta sorong manusia", merangkak melalui terowong, badminton dan permainan bola keranjang dapat membantu menghubungkan laluan motor-neural yang diperlukan untuk menulis


Permainan tradisional dan Lagu-lagu bertepuk - melibatkan kanak-kanak dalam permainan yang memerlukan koordinasi mata-tangan seperti 'batu seremban', 'kalau anda gembira', pick-up sticks, guli dan teng teng.


Masa memasak - memasak dengan anak anda. Biarkan mereka menguli doh, menggulung dan memotong dengan pemotong permainan atau bermain dengan set memasak.


♡ Mengukir atau membentuk play dough atau tanah liat


♡ Melipat Origami atau mengunting kertas


♡Menulis dengan jari - melukis garisan dan menyalin bentuk menggunakan krim pencukur, dulang pasir atau cat jari


♡ Mengambil objek kecil dengan penyepit


♡ Memegang tiub ubat gigi yang kecil dan memusing penutup dengan ibu jari, jari telunjuk, dan jari tengah.


♡ Memakaikan baju anak patung - mengenakan butang, mengezip dan membuka baju, menyusun dan mengikat tali kasut anak patung.



No comments:

Post a Comment